Akhbar Utusan Malaysia,13 Februari 2007
ADELAIDE (Australia) 13 Feb. – Semangat “Malaysia Boleh" merupakan faktor utama kejayaan pedagang dan pelebur emas milik Malaysia, IGDX Holdings Ltd untuk ditempatkan dalam peta dunia.
Platform dagangan emas GforGnya yang mendagangkan emas secara fizikal dan bukan harga hadapan, merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran kerana ia membolehkan pedagang dan pelabur dari seluruh dunia untuk berdagang dan melindungi nilai emas fizikal masing-masing.
Dengan mengusahakan langkah strategik untuk menjadi pedagang emas antarabangsa yang diiktiraf, IGDX kini menjadi syarikat tempatan yang tersenarai di sektor logam dan perlombongan Bursa Sekuriti Australia (ASX).
IGDX menunjukkan prestasi yang baik dalam kemunculan sulungnya di ASX di Adelaide pada 9 Februari, yang mencatatkan premium A$0.10 daripada harga tawaran A$0.50.
Bercakap kepada Bernama di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Shamshudeen Yunus berkata, beliau pada mulanya merasakan mustahil sebuah entiti asing dengan 100 peratus pegangan Malaysia disenaraikan di Papan Utama Australia.
Penyenaraian itu membabitkan tawaran awam awal empat juta saham bernilai A$2 juta yang dilanggani sepenuhnya yang menarik minat 455 pemegang saham Australia.
Shamshudeen berkata, pengiktirafan pelabur Australia itu tidak dijangkakan kerana IGDX adalah pemain baru di negara itu.
Perisian yang dimajukan itu memboleh pelanggannya menerima harga emas secara langsung di platform dagangan yang membolehkan para pelanggannya melakukan tempahan beli dan jual emas.
Platform dagangan GforG itu juga membolehkan pedagang emas mengurus niaga logam berharga yang termasuk di Tokyo Commodity Exchange, the Chicago Board of Trade, COMEX, Loco London, the Dubai Gold Exchange dan the Chinese Gold dan Silver Exchange di Hong Kong.
Perbezaan dagangan emas GforG dengan platform dagangan emas yang lain ialah ia membabitkan dagangan fizikal emas.
Operasi IGDX di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong termasuk mempunyai kilang peleburan di Pulai Pinang dan mendagangkan logam berharga di Hong Kong.
Tahun lepas, syarikat itu mencatatkan keuntungan pra-cukai RM9 juta dan perolehan RM3.2 bilion.
No comments:
Post a Comment
Comment