Apa jadi dengan wang Dinar emas?
oleh Jude Wanniski
Monday, December 20, 2004 (Malaysia Today)
Ketika Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bersara November 2003 selepas 22 tahun berkuasa pada umur 77, saya telah berharap yang beliau akan menggandakan usahanya untuk membuat reformasi matawang bagi dunia Islam yang berasaskan wang dinar emas.Tetapi, selepas beberapa ucapan dan liputan media mengenai subjek ini, beliau telah 'hilang' dari pandangan ramai.Dengan harga dolar untuk emas kini semakin melonjak, dan dolar AS semakin menurun berbanding euro, seluruh dunia mungkin mendapat faedah dari idea Mahathir, tetapi apa yang telah berlaku?Pengerusi Rizab Persekutuan AS Alan Greenspan minggu lepas telah mengejutkan pasaran kewangan dan komoditi dengan komennya di sebuah persidangan perbankan di Frankfurt, dengan mengatakan yang dolar akan terus jatuh berbanding matawang lain disebabkan defisit perdagangan AS.
Namun, jika Amerika Syarikat mempunyai dolar emas, ini tidak mungkin berlaku, dan Greenspan, yang saya kenali secara peribadi selama 32 tahun, sedar akan hal ini.Disebabkan dolar 'terapung-apung' tanpa sebarang ikatan dengan nilai emas, ia telah mengalami kitaran inflasi, yang mungkin akan melibatkan seluruh Asia dalam satu lagi inflasi, melalui hubungan di antara dolar dan matawang China dan Hong Kong.Mungkin sekarang adalah masa yang baik untuk berfikir sejenak mengenai inspirasi dan kegagalan Mahathir, dan bagaimana penggunaan dinar emas mungkin akan berjaya jikalau dijalankan dengan cara berlainan.
Mengapa saya berminat? Saya telah cuba untuk mempengaruhi negara saya sejak suku abad lepas untuk mengembalikan dolar emas sebagai inti utama dalam sistem kewangan antarabangsa yang baru. Saya masih gagal hingga kini kerana dunia perdagangan terus terumbang-ambing dengan dolar AS yang terapung, dan mengalami inflasi dan deflasi dalam kitaran yang tidak dijangka.Kuasa-kuasa elit yang menguasai wang dan bank di AS percaya bahawa dolar kertas AS yang terapung adalah baik untuk Amerika walaupun ia mendatangkan masalah untuk perdagangan negara lain dan dunia luar.
Dengan dinar emas Islam, saya menjangka, dunia Islam akan mempunyai matawang terbaik di dunia. AS akan terpaksa menyandarkan dolar kepada emas dan euro, dan blok yuan/yen akan turut serta.Sebabnya, matawang terbaik akan menjadi magnet untuk kewangan antarabangsa, kerana pengeksport dan pengimport setiap negara di dunia akan menjimatkan berbilion-bilion dolar setahun yang dibelanjakan unutk mengatasi kerugian matawang di pasaran dunia.Ketika presiden Richard Nixon meninggalkan piawai pertukaran emas Bretton Woods pada 15 Ogos 1971, dengan pendapat yang ia akan membantu AS tanpa menghiraukan negara-negara lain, bank-bank Amerika menjadi yang terbesar dan paling menguntungkan di dunia.
Ini kemudiannya berakhir ketika kerajaan Jepun mengekalkan yen dari terus menjunam berbanding emas seperti dolar; secara tiba-tiba, Jepun mempunyai wang yang 'lebih baik'. Untuk 15 tahun, antara 7 bank terbesar di dunia terletak di Jepun.Pengalaman 'manis' Jepun ini berakhir apabila Perbendaharaan AS mengugut Tokyo pada 1989 dengan penalti perdagangan melainkan Jepun menukar polisinya untuk kebaikan AS.Tokyo kemudiannya memperlahankan peningkatan harga hartanah dengan cukai pendapatan kapital yang lebih berkesan, dan menyebabkan Nikkei jatuh dari tahap tertingginya pada 1990.Bank Jepun terpaksa menguruskan matawangnya untuk menjadi lebih rapat kepada dolar.
Ini telah memberi kesan negatif kepada bank-bank dalam deflasi kewangan pada 1997, ketika emas jatuh dari $385 /oz ke $255 pada 2001.Dalam proses itu, deflasi dolar juga telah membinasakan negara-negara pengeluar komoditi di Asia.Kerana itulah Mahathir mula memikirkan untuk melindungi dunia Islam dari keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli bank Wall Street.Beliau menarik perhatian dunia dengan menyalahkan Yahudi Amerika tentang krisis kewangan Asia, tetapi dalam satu surat terbuka kepada perdana menteri yang saya paparkan dalam laman web saya ketika itu, saya menjelaskan yang lebih banyak klien Yahudi saya di Wall Street telah mengalami kerugian ketika krisis tersebut, bukannya mendapat keuntungan.
Masalah ini telah menjadi punca kelemahan teori ekonomi di AS, menyebabkan Nixon membuat keputusan untuk membebaskan dolar dari emas pada 1971.Mahathir masih lagi berkuasa pada 2001 ketika mengumumkan ideanya mengenai dinar emas, dan beliau berharap pada 2003 sekurang-kurangnya dua belas dari 57 negara Organisasi Negara-negara Islam (OIC) akan turut serta dalam sistemnya ini.Media dunia juga percaya bahawa Iran akan menyertai Malaysia tahun yang seterusnya. Tetapi, tiada apa-apa yang berlaku, dan kini dinar emas hanya menjadi bahan gurauan dan perbualan kalangan ahli kewangan. Mengapa idea ini dimansuhkan?Salah satu masalah yang dihadapi Mahathir adalah Washington telah menggunakan pengaruhnya untuk meminta Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menghalang mana-mana negara ahli untuk mengembalikan matawang bersandarkan emas.
Jikalau semua matawang lain diapungkan dan tidak disandarkan kepada emas, dolar AS akan mengekalkan statusnya sebagai matawang rizab utama dunia.Beberapa negara Arab diketuai oleh Arab Saudi sebaliknya telah membincangkan idea pasaran Arab yang disandarkan kepada euro.Sekurang-kurangnya euro adalah lebih stabil berbanding dolar kepada emas, tetapi euro masih lagi berubah-ubah yang membawa masalah kepada perniagaan komersil untuk negara-negara membangun yang berada di dalam zon dagangannya.Kesalahan yang dilakukan Mahathir adalah mencadangkan bahawa dinar emas hanya digunakan untuk menyelesaikan akaun perdagangan di antara negara-negara terlibat.
Ia tidak akan diberi kepada orang-orang biasa. Tiada kertas dinar emas yang dikeluarkan oleh bank-bank utama Islam, dengan menambah atau menolak kecairan matawang ini, untuk mengekalkan kadar tukaran dinar berbanding emas.Kesilapannya mungkin kerana kepercayaannya bahawa sesebuah negara seharusnya memerlukan jongkong emas untuk menguruskan piawai emas Islam. Ini adalah salah.Sebenarnya, bank-bank kerajaan hanya memerlukan kuantiti emas yang nominal, dan keseimbangan perdagangan akan tercapai melalui penukaran aset kewangan - pinjaman atau ekuiti, bon atau saham.Idea untuk menyelesaikan akaun perdagangan dengan penghantaran jongkong emas adalah idea abad ke 19 yang telah lapuk, dan seharusnya dilupakan dan dipinggirkan dari sebarang rancangan.
Faktor utama emas menjadi kuasa penstabil adalah kerana hanya terdapat sedikit emas di dunia, kurang dari 135,000 ton metrik kesemuanya.Ini tidak cukup untuk membina separuh dari Monumen Washington dari emas tulen. Idea ini bukannya datang dari saya sahaja.En Greenspan juga berkata demikian kepada Kongres AS.Piawai emas yang moden hanya menggunakan harga pasaran emas sebagai tanda, membuat penambahan kepada bekalan wang dinar apabila harga dinar/emas menunjukkan kejatuhan kecil dan mengeluarkan bekalan dinar apabila harga pasaran menunjukkan peningkatan.Konsep mudah ini pernah digunakan oleh Alexander Hamilton, setiausaha perbendaharaan pertama Amerika, untuk mempengaruhi Kongres AS untuk menggunakan piawai emas. Ini berlaku ketika republik baru ini tidak mempunyai sedikit emas pun.
Kesilapan kedua Mahathir adalah memikirkan bahawa dinar emas boleh digunakan secara beransur-ansur, dengan dua atau tiga negara membuat percubaan dan yang lain-lain akan turut serta ketika ia telah terbukti keberkesanannya.Adalah menjadi lebih mudah untuk menganjurkan persidangan Bretton Woods Islam yang terdiri dari kesemua 57 negara, dan mengaturkan supaya kesemua, atau hampir kesemuanya, untuk bersetuju mengekalkan matawang tempatan mereka sesama sendiri. Mereka akan menggunakan harga emas pasaran sebagai petanda sama ada bank pusat mereka patut menambah atau mengurangkan kecairan dinar pada hari perniagaan tersebut.Sebuah ekonomi kecil mahupun beberapa ekonomi kecil tidak mampu mengaturkan piawai emas secara bersendirian kerana pasaran AS masih menguasai perdagangan dunia dengan jumlah import dan eksportnya.
Negara-negara Islam secara sendiri yang terpaksa mengambilkira nilai dolar ketika menguruskan matawang tempatan ataupun perdagangan tempatannya, mungkin akan menghadapi masalah dan kemungkinan muflis.Walau bagaimanapun, perpaduan akan membawa kekuatan, dan dunia Islam kini mempunyai kekuatan yang cukup secara keseluruhannya untuk bangkit menentang dolar yang berubah-ubah. Dan sudah tentu, dolar tidak akan terumbang-ambing untuk masa yang lama sebelum Washington membuat keputusan untuk berhenti memanipulasi dolarnya dan turut serta dalam pengstabilan matawang berbanding emas.Namun, masa mungkin sudah berlalu untuk dunia Islam melakukan inisiatif ini.
Dengan Greenspan tidak mengambil tanggungjawab ke atas penurunan dolar, China mungkin terpaksa menjadi peneraju dalam pemisahannya dari inflasi dolar dan masalah yang dibawanya.Jikalau Beijing mengambil langkah pertama untuk menyandarkan matawangnya kepada dolar pada taraf yang sesuai dan neutral, Jepun mungkin akan turut serta berpisah dari dolar yang lemah dan menggunakan yuan China sebagai rujukan. Seluruh Asia akan menurutinya, termasuklah Mahathir di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Comment