To save your family, buy gold...... To help our nation, keep gold...... use gold...

Monday, November 30, 2009

Hukum Akaun Pelaburan Emas

Hukum Akaun Pelaburan Emas
di Bank Malaysia

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Soalan 1

Assalamualaikum UZAR, Saya nak kepastian dari UZAR mengenai masalah berikut:

Bagaimana pula pelaburan emas Kijang emas yang telah diperkenalkan oleh Maybank? Bagaimana cara selamat mengikut undang-undang Syariah untuk membeli dan melabur gold tersebut? Sila masuk ke maybank2u.com Terima kasih.

Akaun Pelaburan Emas di Maybank atau Public Bank - Pelaburan di Maybank jika mahu boleh dapatkan emasnya tapi di Public Bank tak pasti emasnya boleh dikeluarkan (Tiada yang sumber memastikan yang emas di PB boleh dikeluarkan). Jika mereka dagangkan hanya berdasarkan harga sahaja adakah ianya SAH disegi Islam?

Soalan 2

Saya telah membuat panggilan telefon (Public Bank customer service 1800883323) untuk mengetahui cara-cara urusniaga pelaburan akuan emas ini.

Dari maklumbalas yang diberikan ialah:

Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.

Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.

Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.

Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.

Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.



JAWAPAN


Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini, membeli emas dengan tujuan pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat. Ini mungkin disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas ( paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas yang sentiasa ada.

Bagi mengulas isu yang ditanyakan, setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari web bank yang terbabit, saya berpendapat seperti berikut :-

Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.

Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-

• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasiah.

Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.

• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.

Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf' (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).

• HALAL DAN SAH :

Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-

a. Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.

b. Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil ha milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdhu Al-Ma'nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)



DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?

Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :

1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.

Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.

2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.

Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.

Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.


3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.

Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.

Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal' tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.

4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini.

Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.

Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.

KESIMPULAN

Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan.

Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/content/view/764/72/

22 Oktober 2008

23 Syawal 1429 H

Wales, UK

Hukum Memakai Emas Putih

Hukum Memakai Emas Putih &
Platinum Bagi Lelaki

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, bolehkah ustaz memberikan sedikit huraian berkenaan hukum orang lelaki memakai emas putih dan platinum, adakah harus kerana ia bukan emas seperti emas kuning?

JAWAPAN :

Hukum lelaki memakai emas amat jelas hukumnya, iaitu haram berdasarakn begitu banyak dalil-dalil hadith, antaranya :-

Ali bin Abu Talib r.a. berkata:

"Rasulullah s.a.w. mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Kedua ini haram buat orang laki-laki dari umatku." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Tetapi Ibnu Majah menambah:

"halal buat orang-orang perempuan."

Nabi s.a.w. juga pernah melihat seorang laki-laki memakai cincin emas di tangannya, kemudian oleh Nabi dicabutnya cincin itu dan dibuang ke tanah.

Kemudian beliau bersabda:

"Salah seorang diantara kamu ini sengaja mengambil bara api kemudian ia letakkan di tangannya. Setelah Rasulullah pergi, kepada si laki-laki tersebut dikatakan: 'Ambillah cincinmu itu dan manfaatkanlah.' Maka jawabnya: 'Tidak! Demi Allah, saya tidak mengambil cincin yang telah dibuang oleh Rasulullah.'" (Riwayat Muslim)


Dan seperti cincin, menurut apa yang kita saksikan di kalangan orang-orang kaya, yaitu mereka memakai pena emas, jam emas, gelang emas, bekas penghidup rokok emas, gigi emas dan seterusnya adalah haram hukumnya.


Bagaimanapun, bagaimana pula hukum emas putih? Adakah hukumnya sama seperti emas biasa yang berwarna kuning?


Untuk menjawab soalan ini, kita perlu memahami apakah itu emas secara umum.

Emas adalah unsur kimia dalam tabel periodik yang memiliki simbol Au (bahasa Latin: 'aurum') dan nomor atom 79. Sebuah logam transisi (trivalen dan univalen) yang lembek, mengkilap, kuning, berat, "malleable", dan "ductile". Emas tidak bereaksi dengan zat kimia lainnya tapi terserang oleh klorin, fluorin dan aqua regia. Logam ini banyak terdapat di nugget emas atau serbuk di bebatuan dan di deposit alluvial dan salah satu logam coinage. Kode ISOnya adalah XAU. Emas melebur dalam bentuk cair pada suhu sekitar 1000 derajat celcius. (http://id.wikipedia.org/wiki/Emas )

Inilah namanya emas. Sekarang, jika terbukti emas putih adalah dari jenis yang sama logamnya maka hukumnya adalah sama dengan emas kuning. Jikalau kita melihat takrif emas putih di bawah :-

White Golds: What are they?
What are 'white golds'? Are they a special form of gold? Do they contain gold? These are typical questions often asked of us. Well, they are not a special form of gold (which is why you cannot get 24 carat white gold). Actually, they are true carat golds, just like yellow or red carat gold jewellery. They are gold alloys that look white rather than yellow. The white colour is achieved by careful choice of the alloying metals, which bleach the deep yellow of pure gold. ( Rujuk : http://www.gold.org/jewellery/technology/colours/white.html


Juga disebut bahawa :-


"White gold is an alloy of gold and at least one white metal, such as silver or palladium. Like yellow gold, white gold is measured in Karats." (http://en.wikipedia.org/wiki/White_gold)

Berdasarkan keterangan dari sumber-sumber yang berwibawa ini, saya kira adalah jelas bahawa emas putih adalah jenis logam yang sama dengan emas kuning cuma ia terdapat campuran logam berwarna putih samada dari perak atau palladium. Justeru, hukumnya adalah sama iaitu Haram buat orang lelaki dan halal bagi kaum wanita memakainya.


Adapun Platinum, ia adalah jenis logam yang berlainan


Dalam takrifannya Platinum adalah : "Platina adalah suatu unsur kimia dalam tabel periodik yang memiliki lambang Pt dan nomor atom 78. Sebuah logam transisi yang berat, "malleable", "ductile", berharga, berwarna putih-keabuan. Platinum tahan karat dan terdapa dalam beberapa bijih nikel dan copper. Platinum digunakan dalam perhiasan, peralatan laboratorium, gigi, dan peralatan kontrol emisi mobil." ( Rujuk : http://id.wikipedia.org/wiki/Platina )


Jelas dari penjelasan ini, bahwa emas putih bukanlah platinum sebagaimana yang didakwa beberapa pihak sehingga membawa kepada fatwa halal orang lelaki memakai emas putih kerana ia adalah platinum.


Kesimpulannya : Halal bagi lelaki memakai platinum dan haram baginya untuk memakai emas putih. Bagaimanapun yang terpilih tetap perak bagi orang lelaki, kerana ia adalah sunnah Nabi SAW jua.



Sekian


Ust Zaharuddin Abd Rahman

12 Feb 2007

24 Muharram 1427
http://www.zaharuddin.net/content/view/290/99/

Sunday, November 29, 2009

Dinar Emas

By Dr. Mahathir Mohamad on November 4, 2008 2:46 PM
1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.

2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai "Gold Standard". Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan "Bank Notes" sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antrabangsa? Sudah tentu tidak.

17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.

Dinar Emas Malaysia

Dinar Emas Elak Manipulasi ( Nik Aziz & Dr Mahathir)

BERITA DIPETIK DARI HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia.

Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.

"Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata," tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya.

Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu.

Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena 'Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar' yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv.

Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi).

(Surah Ali Imran, ayat 14)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa" yang sangat penting lagi amat bersejarah ini.

Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian,

Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram.

Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar!

Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa.

Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat.

Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah.

Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham. Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20.

Maksudnya:

Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.

(Surah Ali Imran : 75)

Maksudnya:

Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja...

Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi.

Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : maksudnya:

"Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu.

Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham.

Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan).

Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas.

Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu.

Para Hadirin sekalian,

Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja.

Bahkan ramai juag ahli-ahali ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, kahsnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya.

Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional.

Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas.

Dato'-dato', datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing.

Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus.

Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya.

Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan.

Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya. Para hadirin sekalian,

Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan "Gold Dinar Economy" kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia.

Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.

Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata.

Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar?

Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa," yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini. - mks.







KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan.

"Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka.

Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.

Turut serta dalam persidangan yang dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kajian Startegik Kelantan (KRISS) dengan kerjasama Marslio adalah penasihat-penasihat kewangan Bank-Bank tempatan, pakar-pakar ekonomi luar negeri dan tempatan serta pelajar-pelajar ekonomi Universiti tempatan dan antarabangsa.

http://www.zaharuddin.net/content/view/554/63/

30 day gold price per ounce
30 Day gold silver ratio.


Emas Terlampau dan Melampau