To save your family, buy gold...... To help our nation, keep gold...... use gold...

Saturday, April 23, 2011

Lonjakan harga emas


LONDON - Harga emas dunia diramal meningkat sebanyak 13 peratus pada tahun ini menjadikan harga logam itu mencecah sehingga AS$1,600 (RM4,840) bagi satu auns (28.3 gram).

Kenaikan itu berterusan sejak 2001 didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi dan kadar faedah global yang rendah.

"Kami tidak akan terkejut jika melihat harga emas melepasi AS$1,600 sebelum hujung tahun ini," kata Pengerusi Eksekutif firma penyelidikan GFMS Ltd., Philip Klapwijk dalam laporan terbarunya yang disiarkan semalam.

Ramalan itu tidak berubah daripada jangkaan awal yang dikeluarkan pada Januari lalu selepas harga emas mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu AS$1,478.18 (RM4,472.23) bagi setiap auns di London pada Isnin lalu.

"Para pelabur terus bimbang mengenai inflasi dan kerajaan-kerajaan dilihat kurang berminat untuk mengetatkan polisi kewangan. Kedudukan kewangan kerajaan juga menjadi alasan kenapa pelabur kekal fokus terhadap pasaran emas.

"Penerimaan kenaikan harga oleh para pengguna akan membantu meningkatkan permintaan terhadap barang kemas selain menyediakan platform kukuh untuk pelabur menaikkan harga emas menjadi lebih tinggi," kata Klapwijk.

sumber: Kosmo

Friday, February 4, 2011

Mendulang emas di Alpine

Kegilaan mendulang emas di Alpine

HUJAN rintik-rintik, angin bertiup lembut dan ruang angkasa yang tidak memancarkan cahaya terik bukan suasana musim panas yang sempurna untuk menghabiskan masa berjam-jam di Sungai Upper Rhine di bahagian timur banjaran Alps, Switzerland.
Namun itulah yang dilakukan oleh beberapa pendulang emas yang memakai but paras lutut bersenjatakan baldi dan penyodok sambil menunduk tekun mendulang emas.
Kawasan di Disentis mempunyai reputasi sebagai lokasi emas kerana jika bernasib baik pendulang menemui seketul emas yang besar.
"Untuk mencari emas, seseorang perlu banyak masa dan kesabaran yang tinggi. Emas adalah sesuatu yang cukup istimewa.
"Logam ini mempunyai magis tersendiri, apabila ia dalam genggaman seseorang maka ia adalah sesuatu yang cukup istimewa. Anda mungkin dipukau semangat emas," kata seorang pakar tempatan dalam seni mendulang, August Braendle.
Harga emas
Dengan harga emas yang melonjak, para pelabur merasakan ia adalah komoditi yang selamat ketika ekonomi global meleset. Sehubungan itu, aktiviti mendulang emas kembali.
Pada bulan Jun lalu, harga emas melonjak sehingga AS$1,265 (RM3,952) seauns. Kini harganya berada sekitar AS$1,220 (RM3,811) seauns.
"Lonjakan harga mungkin menjadi titik tolak kepada sesetengah orang di sini kerana ia merupakan topik hangat buat masa ini.
"Namun saya rasa ia bukan punca utama kerana kebanyakan emas yang kami temui mempunyai nilai tersendiri," kata Braendle.
Emas yang ditemui di Rhine biasanya mempunyai harga yang lebih tinggi dalam pasaran kerana ia didulang dengan tangan.
Pendulang biasanya menggali sebaldi tanah sungai sebelum menuangkannya melalui sebuah pintu air yang menghadang bahan-bahan berat termasuk emas. Kandungan pintu air dikosongkan ke atas dulang yang rata sebelum dikacau untuk mengasingkan serpihan emas.
Braendle menunjukkan subang dan rantai miliknya yang ditempa dengan emas yang ditemui di sungai itu.
Malah dia digelar oleh penduduk tempatan sebagai Gold Gusti kerana pernah menemui ketulan emas seberat 48.7 gram yang kini disimpan di bank.
Ketulan emas itu merupakan satu rekod di Switzerland, tetapi tidak lama selepas itu satu lagi ketulan seberat 123.1 gram ditemui oleh seorang pendulang bernama Peter Boelsterli.
"Masih terdapat banyak rahsia di sini," ujar Braendle yang sebelum ini bekerja di sebuah firma komputer di Zurich sebelum berpindah ke Disentis pada tahun 1995 untuk mengejar hobinya.

Dia kini menghabiskan masa sebagai pemandu pelancong yang mendulang pada musimnya iaitu di antara bulan Mei hingga pertengahan Oktober atau di landasan kereta api pergunungan pada musim sejuk.
"Bagi saya emas adalah hobi, kerja dan segala-galanya," luahnya.
Namun ramai yang mengakui mendulang emas di Switzerland, sebuah negara bergaji besar dengan kadar pengangguran yang rendah, sebagai memenatkan dan tidak berbaloi.
Penemuan emas di Switzerland sebenarnya jarang berlaku. Penggalian sebuah firma Kanada pada tahun 1982 mendapati hanya 0.7 hingga tiga gram emas ditemui bagi setiap tan tanah. Ia menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan zon rendah emas. Menurut Swiss Gold Prospector Association, kawasan yang kaya dengan emas mencatatkan angka dua digit.
"Di sini, mendulang emas hanya untuk keseronokan," kata Stefan Grossenbacher, pencari emas profesional yang mengadakan kelas mendulang di Lembah Napf, dekat bandar Lucerne, tengah negara ini pada musim panas sebelum ke New Zealand untuk mendulang emas ketika musim sejuk di sana.
"Tiada siapa boleh hidup dengan hanya mencari emas di sini," katanya lagi. - AFP


Sumber : Kosmo Online

30 day gold price per ounce
30 Day gold silver ratio.


Emas Terlampau dan Melampau